Sumber Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pengajian Sosial
(http://notapismp.blogspot.com)
(http://notapismp.blogspot.com)
1.0 Pengenalan
Dalam psikologi dan pendidikan, pembelajaran umumnya ditakrifkan
sebagai suatu proses yang menyatukan kognitif, emosional, persekitaran pengaruh
dan pengalaman untuk mendapatkan, meningkatkan atau membuat perubahan dalam
pengetahuan, kemahiran, nilai dan pandangan dunia seseorang individu (Illeris,
2000; Ormorod, 1995). Belajar sebagai suatu proses berfokus kepada apa yang
terjadi ketika pembelajaran berlangsung. Penjelasan tentang apa yang terjadi
merupakan teori-teori belajar. Sebuah teori belajar adalah usaha untuk
menggambarkan bagaimana manusia belajar, sehingga membantu kita memahami proses
dasarnya kompleks belajar. Teori pembelajaran mempunyai dua nilai utama menurut
Hill (2002). Salah satunya adalah dalam menyediakan kita dengan kosa kata dan
rangka kerja konseptual untuk menafsirkan contoh pembelajaran yang kita amati.
Yang lain adalah dalam mencadangkan kaedah bagi mencari penyelesaian untuk
masalah-masalah praktikal. Teori-teori tidak memberikan kita penyelesaian,
tetapi mereka mengarahkan perhatian kita kepada mencipta pembolehubah yang
sangat penting dalam mencari penyelesaian.
Ada tiga kategori utama atau rangka falsafah teori-teori pembelajaran
iaitu behaviorisme, kognitivisme dan konstruktivisme. Behaviorisme hanya
tertumpu kepada aspek peniruan, pemikiran dan perasaan dalam pembelajaran.
Teori kognitif melihat melampaui perilaku untuk menjelaskan pembelajaran
berasaskan otak manakala pandangan konstruktivisme belajar sebagai sebuah
proses di mana pelajar aktif membina atau membina idea-idea baru atau konsep.
Robert M Gagne, Jerome Seymour Bruner, Albert Bandura dan Lev Vygotsky
merupakan tokoh-tokoh penting yang telah mencetuskan pelbagai teori
pembelajaran dan memberi sumbangan yang besar dalam dunia pendidikan. Mereka
juga mengutarakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai
dengan teori masing-masing.
2.0 Hubungkait teori-teori pembelajaran dengan kepentingan penggunaan
sumber-sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
i. Gagne: Bahan bercetak.
Robert M. Gagne dalam bukunya Essentials of Learning for Instruction
(1975) memperkenalkan sebuah teori mengenai bagaimana manusia memperoleh
maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran.
Mengikut teori, semua rangsangan dari persekitaran luar akan diterima
oleh sistem saraf melalui deria-deria manusia. Maklumat ini akan ditafsirkan
dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor ingatan jangka panjang dan
akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf.
Gagne memilih bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran
yang paling sesuai berdasarkan kepada teori beliau. Bahan bercetak merupakan
sumber pelajaran yang paling mudah didapati dan disediakan. Penggunaan bahan
cetak sebagai bahan pengajaran tidak terhad asalkan ia menepati objektif.
Bahan-bahan bercetak yang terdapat di sekolah boleh diklafikasikan kepada dua
jenis iaitu bahan bergambar dan bahan tidak bergambar.
Contoh bahan bergambar ialah surat khabar, poster, majalah dan gambar.
Bahan-bahan bergambar membantu murid meluaskan pengetahuan dan pemahaman. Hal
ini sesuai dengan teori beliau di mana rangsangan luaran seperti gambar mampu
membina set-set di dalam stor ingatan seseorang individu sama ada berbentuk
ingatan jangka masa panjang mahupun ingatan jangka masa pendek.
Contoh bahan tidak bergambar ialah seperti graf, peta dan tanda isyarat
jalan raya. Teori Gagne juga dikenali sebagai teori pemprosesan maklumat.
Berdasarkan kepada penggunaan bahan-bahan tidak bergambar, murid-murid akan
didedahkan dengan cabaran kerana mereka dikehendaki mentafsir maklumat yang
diterima seperti membuat graf atau melukis dan member peluang kepada murid
untuk meluaskan penggunaan bahasa seperti membuat ramalan dan membuat huraian
lanjut tentang sesuatu laporan.
ii. Bruner: Penggunaan Peta Minda dan Bahan Eksperimen
Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa
yang diketahui murid itu kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada
prinsip konstruktivisme).
Dalam mempelajari manusia, Bruner menganggap manusia sebagai pemproses,
pemikir dan pencipta informasi. Beliau juga menyatakan bahawa pembelajaran itu
meliputi tiga proses kognitif, iaitu memperoleh informasi baru, transformasi
pengetahuan, dan menguji relevansi dan ketepatan pengetahuan.
Penggunaan peta minda dan bahan eksperimen dikenalpasti sebagai sumber
utama pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kepada teori beliau. Melalui
sumber-sumber tersebut, murid akan memperoleh keberkesanan dalam proses
pembelajaran kerana aktviti seperti eksperimen melibatkan penglibatan langsung
murid-murid dan akan mendedahkan mereka kepada pengalaman-pengalaman yang baru.
Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru perlu menyediakan
peluang untuk murid-murid meneroka, memegang, mencium dan merasa. Pengalaman
seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna.
Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori. Oleh yang
demikian, penggunaan peta minda diterapkan di dalam teori beliau. Pengetahuan
perlu disusun dan diperingkatkan agar pembentukan konsep bermula daripada
peringkat yang mudah kepada peringkat yang rumit.
iii. Bandura: Relia dan Model
Mengikut teori peniruan dan permodelan yang diperkenalkan oleh Bandura,
pembelajaran melalui pemerhatian merupakan pembentukan asas tingkah laku
manusia.Melalui pemerhatian terhadap proses dan hasil perubahan tingkah laku
orang lain, individu secara tidak langsung, mempelajari pula perubahan tingkah
laku tersebut.
Penggunaan relia dan model sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran
menepati teori yang dikemukakan oleh Bandura. Hal ini kerana, Bandura
menyatakan bahawa proses pembelajaran meliputi pemerhatian, pemikiran,
peringatan, peniruan dengan tingkah laku atau gerak balas yang sesuai dan
diakhiri dengan peneguhan positif.
Model seperti bahan tiga dimensi yang baik seperti kraftangan, replika
bangunan boleh ditunjukkan kepada murid-murid sebagai contoh dalam proses
pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan murid-murid melalui
pemerhatian dan pemikiran.
Guru dan murid juga merupakan model semulajadi di dalam sesebuah kelas.
Implikasinya, penyampaian guru hendaklah cekap dan menarik supaya menjadi role
model yang boleh dicontohi oelh murid. Guru juga boleh menjadikan rakan sebaya
yang cemerlang menjadi role model untuk membuat demonstrasi di dalam bilik
darjah.
iv. Vygotsky: Rakan Sebaya dan Penggunaan Bahan Sumber / Alat
Vygotsky menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan minda
murid. Kebanyakan daripada kemahiran kognitif murid terhasil daripada interaksi
sosial dengan rakan sebaya. Perkembangan mental murid terhad disebabkan oleh
sistem biologi yang belum berkembang dan matang. Walaupun begitu persekitaran
dan sistem lingkungan budaya murid membantu mereka mengadaptasi perkembangan
kognitif. Setiap budaya menerapkan cara hidup dan cara berfikir kepada
murid-murid.
Vygotsky turut menekankan penggunaan bahan sumber dan alat. Bahan boleh
membantu guru menjelaskan apa yang hendak diajar, membantu murid memahami apa
yang diajar. Bahan pengajaran penting sebagai media komunikasi, rangsangan,
penjelas makna, penggerak pelbagai deira, sumber pengalaman, unsur yang
mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong pengajaran
terancang.
3.0 Kepentingan dan tujuan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam
Pengajian Sosial.
Sumber ialah segala bahan dan alat yang terdapat di alam ini. Dalam
bidang pendidikan, sumber ialah segala bahan dan alat yang dapat membantu guru
mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Dalam program Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang baru
dilaksanakan, pembelajaran Pengajian Sosial yang berkesan dikaitkan dengan
penggunaan alat dan bahan yang sesuai, terutamanya yang boleh dilihat,
didengar, dirasa, dihidu dan disentuh oleh murid. Mereka boleh mengalami
sendiri apa yang disampaikan oleh guru. Ini membuatkan mereka lebih memahami
dan apa yang difahami itu pula akan lebih kekal dalam stor ingatan mereka.
Secara umum, bahan bermakna apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran
termasuklah pengetahuan dan nilai-nilai. Dari segi teknologi pendidikan, apa
yang diguna untuk menyampaikan pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran
digolongkan sebagai media pendidikan.
Kesemua sumber, jika digunakan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai akan bertindak sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi
pembelajaran yang lebih bermakna. Dengan cara ini, murid akan dapat belajar
dalam situasi yang berkesan.
Penggunaan sumber penting dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian
Sosial. Hal ini kerana sumber boleh membantu guru menjelaskan isi pelajaran
kepada murid dan membantu murid memahami apa yang diajar oleh guru. Sumber
pengajaran dan pembelajaran bertindak sebagai media komunikasi, rangsangan,
penjelas makna, penggerak pelbagai deria, sumber pengalaman, unsur yang
mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong kepada pengajaran
terancang.
i. Kepentingan sumber sebagai media komunikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran Pengajian Sosial.
Komunikasi melibatkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Proses
pengajaran dan pembelajaran juga merupakan satu aspek komunikasi kerana
pembelajaran berlaku melalui penyampaian dan penerimaan maklumat.
Maklumat-maklumat itu disalurkan melalui media tertentu seperti media cetak dan
tayangan video. Media inilah yang menjadi sumber pengajaran. Filem video ialah
satu alat komunikasi yang boleh digunakan dengan baik di dalam bilik darjah.
Tayangan peristiwa dan pemandangan yang sebenar akan membolehkan murid-murid
tahu tentang peristiwa-peristiwa tersebut dengan lebih dekat dan jelas.
Dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial di sekolah, guru
bertindak sebagai pengirim atau penyampai maklumat dan penerimanya ialah murid.
Sementara mesejnya ialah maklumat, fakta, konsep, kemahiran atau nilai yang
disampaikan. Sumber ialah saluran atau media yang digunakan untuk menyampaikan
maklumat tersebut.
ii. Kepentingan sumber sebagai rangsangan dalam pengajaran dan
pembelajaran Pengajian Sosial.
Murid akan lebih berminat belajar tentang sesuatu tajuk sekiranya dia
dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang menjadi ii pelajaran. Dengan
adanya bahan rangsangan ini, murid akan dapat memahami sesuatu perkara dengan
lebih mendalam lagi. Oleh itu mereka dapat mengeluarkan idea dengan lebih cepat
dan bermakna. Bahan merupakan satu faktor utama bagi mempelbagaikan rangsangan
murid di samping mengalihhalakan tumpuan mereka kepada perkara-perkara yang
menarik, bermakna dan penting dalam pembelajaran.
iii. Kepentingan sumber sebagai penjelasan makna dan konsep dalam
pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.
Dalam pengajaran sesuatu topik, terdapat perkataan dan frasa yang
maknanya tidak dapat dihurai dengan perkataan sahaja. Maknanya akan lebih jelas
jika diterangkan dengan contoh-contoh tertentu yang memerlukan bahan audio
visual atau kedua-duanya sekali. Bahan-bahan ini boleh digunakan di dalam atau
di luar bilik darjah seperti siaran langsung atau rakaman peristiwa-peristiwa
sebenar melalui radio dan televisyen.
Penerangan guru yang diiringi dengan bahan yang dipilih dengan rapi dan
sesuai dapat memperkembangkan corak pemikiran murid serta membantu mereka
memahami sesuatu dengan lebih jelas.
iv. Kepentingan sumber sebagai penggerak penggunaan pelbagai deria
dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.
Secara semulajadi, kita belajar melalui berbagai-bagai deria iaitu
rasa, dengar, lihat, sentuh dan bau. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah juga, guru perlu menggunakan berbagai-bagai bentuk dan jenis bahan
supaya deria-deria ini boleh digunakan.
Kajian telah menunjukkan bahawa manusia mengingati 10% daripada apa
yang mereka dengar sahaja, 20% daripada apa yang mereka lihat sahaja dan 65%
daripada apa yang mereka dengar dan lihat.
Kajian ini jelas membuktikan bahawa lebih banyak deria dilibatkan dalam
aktiviti pembelajaran, lebih teguh pula daya ingatannya. Untuk memastikan apa
yang disampaikan itu kekal lama dalam ingatan murid, guru patut mempelbagaikan
bahan pengajaran.
v. Kepentingan sumber sebagai sumber pengalaman dalam pengajaran dan
pembelajaran Pengajian Sosial.
Terdapat bahan yang memberikan pengalaman secara langsung dan tidak
langsung kepada murid. Alam sekitar boleh memberikan pengalaman langsung.
Contohnya, apabila murid membuat lawatan ke sesuatu tempat, dia akan memahami
dan mengetahui apakah bahan maujud yang ada di situ, di samping mengetahui
proses menghasilkan bahan-bahan tersebut. Misalnya semasa melawat ke ladang
getah, murid-murid dari bandar boleh melihat pokok getah, daunnya, buahnya dan
bagaimana susu getah diperoleh dan kemudian diproses menjadi getah keping untuk
dipasarkan. Bahkan mereka juga mungkin dapat mengalami sendiri pekerjaan
tersebut.
Pengalaman ini akan memberi kesan yang mendalam kepada proses
pembelajaran murid-murid tersebut. Kita lebih banyak belajar melalui pengalaman
sendiri daripada maklumat yang diberi oleh orang lain. Murid-murid juga akan
lebih memahami dan mengingati pelajaran yang diterima sekiranya mereka diberi
peluang untuk mencuba, mengkaji dan meneliti bahan-bahan yang digunakan.
Filem, video atau gambar boleh mengayakan pengalaman seseorang murid.
Misalnya, semasa menonton tayangan filem tentang kejadian dan perubahan musim
di negara beriklim sejuk dengan pemandangan yang berlainan, murid-murid akan
berasa seolah-olah mengalaminya sendiri. Ini akan meningkatkan dan mengukuhkan
pemahaman mereka tentang perubahan musim yang mereka tidak pernah mengalami
secara langsung.
vi. Kepentingan sumber mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam
pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.
Setiap bahan mempunyai cara penggunaannya yang tersendiri. Ini memberi
kesan terhadap kaedah dan teknik pengajaran. Dengan menggunakan berbagai-bagai
bahan yang ada, kaedah dan teknik pengajaran juga boleh dipelbagaikan.
Kemahiran yang sama boleh dikuasai mengikut cara dan teknik yang berlainan
berdasarkan jenis alat dan bahan yang digunakan. Misalnya pengetahuan tentang
alam sekitar boleh disampaikan melalui tanyang video, teks bacaan atau
pengalaman langsung murid.
Kepentingan sumber sebagai pendorong pengajaran terancang dalam
pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial.
Penggunaan sumber perlu dirancang dari segi kesesuaian, tujuan, masa
dan cara menggunakannya. Ini melibatkan perancangan keseluruhan pengajaran dari
awal hingga akhir. Dengan cara ini, guru akan merancang sesuatu pelajaran
dengan lebih sempurna.
4.0 Prosedur penghasilan dan penggunaan bahan teknologi pendidikan yang
sesuai dan tatacara penyelenggaraannya dalam pengajaran dan pembelajaran
Pengajian Sosial.
Dari segi teknologi pendidikan, apa yang diguna untuk menyampaikan
pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran digolongkan sebagai media
pendidikan.
Bahan bercetak
Bahan-bahan cetak merupakan media pendidikan yang paling mudah didapati
dan disediakan. Penggunaan bahan cetak sebagai bahan pengajaran tidak terhad
asalkan ia menepati objektif. Contoh bahan bercetak adalah seperti buku teks,
buku kerja, buku fiksyen, buku rujukan, majalah, risalah, surat, berita, surat
khabar dan nota-nota bercetak. Bahan bercetak seperti ini mengandungi maklumat
dalam bentuk perkataan, lukisan atau gambar.
Pemilihan dan penghasilan bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan
pembelajaran dalam Pengajian Sosial perlu menitikberatkan aspek-aspek yang
berikut:
a. Anggaran kos
b. Kebolehgunaan
c. Mobiliti
d. Bahan mentah
e. Saiz dan warna
f. Tatahias dan kemasan
g. Simpanan dan penyelenggaraan
a. Anggaran kos
Bahan bercetak amat murah dan mudah untuk didapati. Pencetakan bahan
yang banyak akan mengurangkan kos jika dibandingkan dengan bahan pandang-dengar
yang lain. Bahan-bahan bercetak, cetakan tempatan atau cetakan sendiri berharga
murah dan boleh disediakan dengan cepat.
b. Kebolehgunaan
Teknologi pendidikan ini memudahkan guru untuk mengajar murid melalui
bahan bercetak yang maujud. Guru boleh menggunakan bahan bercetak sekerap
mungkin sehingga murid benar-benar dapat mengingati fakta atau perkara yang
ingin diperlajari. Murid-murid boleh menggunakannya mengikut kadar kecepatan
mereka sendiri. Bahan-bahan tercetak boleh dibaca dengan cepat dan maklumat
penting boleh dipelajari tanpa mengikut sesuatu masa pengajaran.
Bahan bercetak tidak mempunyai masalah dari segi penggunaannya kerana
ia tidak memerlukan sumber tenaga elektrik seperti komputer. Walaubagaimanapun,
ia perlu digunakan di tempat yang terang atau mempunyai cahaya kerana jika
tidak bahan yang dipaparkan tidak dapat dilihat.
c. Mobiliti
Bahan bercetak ini boleh digunakan di mana sahaja sama ada di dalam
atau di luar kelas. Jika bahan tersebut ingin digunakan di kawasan yang luas
seperti dewan, bahan tersebut hendaklah diperbanyakkan. Selain itu, murid-murid
juga boleh menggunakan pada bila bila masa bahan bercetak tersebut walaupun
tanpa guru.
d. Bahan mentah
Hampir kesemua bahan bercetak menggunakan kertas sebagai bahan mentah.
Penggunaan kertas sangat popular kerana ia mudah didapati selain kos mencetak
yang rendah.
e. Saiz dan warna
Jika gambar atau poster digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ,
guru mestilah memastikan saiznya besar dan boleh dilihat oleh semua murid.
Perkara ini penting dalam menyampaikan maklumat dan mengekalkan perhatian serta
minat murid. Pemilihan warna juga perlu diberi perhatian oleh guru. Warna yang
terlalu terang dan terlalu gelap akan menjejaskan fokus murid terhadap
penyampaian guru.
f. Tatahias dan kemasan
Sekiranya guru menggunakan lukisan sebagai bahan bantu mengajar, guru
perlu memastikan lukisan tersebut mudah difahami oleh murid. Guru juga perlu
mengelakkan penggunaan lukisan yang terlalu abstrak. Hal ini akan menyukarkan
murid memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Jika guru mencetak
bahan-bahan yang mengandungi tulisan tangan, pastikan tulisan tersebut kemas
dan mampu dibaca oleh murid. Bahan bercetak yang terlalu banyak gambar dan
warna juga tidak digalakkan untuk diguna sebagai bahan bantu mengajar kerana
boleh mengganggu tumpuan murid dalammencapai objektif pembelajaran yang
sebenar.
g. Simpanan dan penyelenggaraan
Bahan bercetak ini perlu disimpan dengan kemas dan teliti kerana bahan
ini mudah koyak atau rosak, seperti disimpan di dalam fail, folder, plastik
menyimpan kertas dan sebagainya. Gambar-gambar seperti foto dan rajah boleh
dimasukkan dalam teks untuk penerangan lebih lanjut mengenai konsep,
hujah-hujah dan juga untuk menambahkan minat murid. Bahan-bahan cetakan
tambahan boleh dimuatkan di dalam buku teks atau buku latihan sebagai lampiran
atau bahan tambahan.
Penggunaan bahan dengan cermat serta disimpan di tempat yang selamat
memudahkan pengesanan semula dan menjamin ketahanan bahan tersebut.
5.0 Prosedur penghasilan dan penggunaan bahan teknologi maklumat dan
komunikasi yang sesuai dan tatacara penyelenggaraannya dalam pengajaran dan
pembelajaran Pengajian Sosial.
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara terancang boleh
mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah serta memberi
peluang kepada setiap murid untuk menguasai ilmu pengetahuan dengan cara yang
lebih menarik dan berkesan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk
mengembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu.
Definisi teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses
pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan
perantaraan teknologi. Seperti yang diketahui umum, teknologi disifatkan
sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi
sangat pantas. Sebenarnya teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan
komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, telefon mudah alih,
fax, telegram, PDA dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada
penerima.
Terdapat 3 asas penting dalam penggunaan teknologi maklumat. Pertama
teknologi maklumat adalah untuk mengumpul maklumat. Ia digunakan untuk
suntingan dengan menggunakan teknologi. Contoh,dengan menggunakan komputer ia
boleh merekod bunyi,imej dan sebagai pengesan gerakkan. Kedua, adalah untuk
memanipulasikan maklumat dan proses semula imej. Ketiga, digunakan untuk
berkomunikasi iaitu ia menjelaskan bagaimana teknologi maklumat digunakan untuk
berkomunikasi bagi mendapatkan maklumat daripada sumber kepada penerima.
Penghasilan bahan teknologi maklumat: Persembahan Elektronik Multimedia
Terdapat beberapa perisian yang boleh digunakan untuk menghasilkan
Persembahan Elektronik Multimedia, sesuai digunakan dalam kelas. Antara perisian
yang biasa digunakan ialah Microsoft Office Powerpoint.
Sebelum membina persembahan elektronik multimedia Powerpoint, guru
perlu memastikan elemen grafik yang digunakan menepati keperluan murid-murid.
Grafik ialah kombinasi gambar-gambar, lambang-lambang, simbol-simbol, huruf,
angka,perkataan, lukisan, lakaran yang dijadikan satu media untuk memberi
konsep dan idea dari pengirim (guru) kepada sasarannya (murid) dalam proses
menyampaikan maklumat. Grafik penting untuk menyediakan bahan-bahan pandangan (visual).
Selain aspek grafik, reka letak visual juga mempengaruhi kualiti
persembahan elektronik multimedia Powerpoint yang dihasilkan. Terdapat beberapa
perkara yang perlu dikenalpasti oleh guru semasa menghasilkan sebuah
persembahan elektronik multimedia Powerpoint iaitu:
a. Simplisiti
b. Dominan
c. Pola
d. Seimbang
e. Warna
f. Huruf
a. Simplisiti
Visual yang ditayangkan hendaklah dihadkan kepada satu idea. Idea yang
banyak dalam satu visual akan mengelirukan dan seterusnya akan mengalih tumpuan
murid keluar daripada objektif pembelajaran.
b. Dominan
Dominan bererti pusat penumpuan atau minat. Di dalam slaid persembahan
Powerpoint, guru perlu mewujudkan sesuatu yang boleh menarik minat murid-murid.
Sebagai contoh, jika guru ingin mengajar tentang negeri Kedah, guru boleh
mempersembahkan gambar sawah padi bagi menimbulkan inkuiri murid. Dengan yang demikian,
murid dapat mengekalkan minat untuk mengikuti pembelajaran yang seterusnya.
c. Pola
Pola merupakan susunan item-item dalam sesuatu rekaan visual. Susunan
item perlulah mematuhi urutan yang rasional bagi memudahkan pemahaman murid.
Sebagai contoh, guru menggunakan gambar anak panah bagi menunjukkan proses
untuk membuat kain batik yang menjadi warisan tradisi di negeri Terengganu.
d. Seimbang
Guru perlu bijak untuk menggunakan ruang di dalam slaid persembahan.
Keadaan kesamaan dari segi berat, tarikan dan tumpuan perhatian yang terdapat
dalam suatu susunan slaid akan menjadikan persembahan lebih kemas dan teratur.
e. Warna
Warna merupakan satu elemen reka letak visual yang penting. Pemilihan
warna yang tepat membantu keberkesanan persembahan. Warna mempunyai beberapa
fungsi iaitu pertama, warna membantu membuat penegasan dan mewujudkan tumpuan.
Kedua, warna memudahkan sesuatu item dilihat. Ketiga,warna mewujudkan perasaan
harmoni dan melahirkan kesan tertentu seperti panas, sejuk, bergetar, kesan psikologi
dan sebagainya kepada murid-murid.
f. Huruf
Pemilihan huruf juga penting dalam menghasilkan persembahan elektronik
multimedia. Saiz dan jenis huruf mempengaruhi penerimaan murid-murid terhadapa
apa yang disampaikan oleh guru. Guru perlu memilih jenis huruf yang senang
dibaca. Penggunaan huruf besar hanya sesuai untuk tajuk yang pendek manakala
untuk tajuk yang panjang, huruf bersaiz kecil digunakan mengikut kesesuaian.
Guru juga perlu memastikan bahawa jarak di antara dua perkataan ialah 1atau 1 ½
lebar huruf. Biarkan ruang di antara huruf kelihatan sama walaupun jaraknya
berbeza. Hurufan terang yang diletakkan di atas latar belakang gelap di dapati
lebih jelas daripada sebaliknya.
g. Tatahias dan kemasan
Guru perlu memilih warna yang mempunyai kontras antara latar dengan
imej atau teks. Selain itu, guru juga perlu memilih warna yang lembut dan
selesa dipandang oleh penerima iaitu murid. Bagi memastikan slaid yang
dihasilakn tersebut kemas dan teratur, gunakan empat warna sahaja dalam satu
skrin/slaid. Tatahias warna juga dapat menjelaskan konsep atau menunjukkan
penegasan. Contohnya slaid berlatarbelakangkan warna merah menunjukkan
penegasan dan perhatian.
Penyelenggaraan bahan teknologi maklumat: Persembahan Elektronik
Multimedia.
Setiap bahan bantu mengajar perlu diselenggara dengan baik termasuklah
persembahan elektronik multimedia. Persembahan yang telah siap dihasilkan perlu
disimpan dalam beberapa bentuk iaitu dalam bentuk dokumentasi (hard copy) dan
dalam bentuk perisian (soft copy).
Persembahan elektronik yang dicetak dan didokumenkan boleh dijadikan
rujukan pada bila-bila masa manakala persembahan yang disimpan dalam bentuk
perisian mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah, isi kandungan di dalam
persembahan elektronik tersebut boleh disunting pada bila-bila masa mengikut
keperluan murid dan keperluan semasa. Selain itu, persembahan elektronik yang
disimpan dalam bentuk perisian juga dapat disalin ke dalam alat-alat teknologi
maklumat yang lain seperti cakera padat, thumb-drive dan lain-lain.
6.0 Rumusan
Sumber pengajaran ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru/
murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan
mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar
sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang
melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya,
merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid.
Bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan
program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk
mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik.
Bahan bantu mengajar bukanlah merupakan sesuatu yang tersisih sifatnya daripada
proses pengajaran dan pembelajaran. Alat bantu itu mestilah dianggap sebagai
satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah
kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid
serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka.
Teknologi pendidikan pula merupakan satu sistem yang meliputi alat dan
bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan
kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.
Kecekapan guru menggunakan pelbagai sumber dalam pengajaran dan
pembelajaran mampu merangsang pemahaman murid ke tahap yang cemerlang.